17 Mei 2010

PERUTUSAN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA, Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN, SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2010






"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Marilah kita semua merafakkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru bagi tahun ini. Pada tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kaum guru. Penghormatan ini amat layak diberikan atas kegigihan guru-guru memberikan segala tunjuk ajar serta mendidik murid-murid untuk menjadi insan cemerlang yang berilmu dan berpekerti mulia. Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab seorang guru merupakan tugas yang amat mulia.

Saya ingin mengucapkan "Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Guru" kepada semua warga pendidik. "Terima Kasih Cikgu" atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dam memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan suatu tugas yang berat dan mencabar. Namun begitu, saya percaya cabaran-cabaran ini mampu diatasi dengan kesungguhan dan iltizam yang tinggi.

Guru-Guru dan murid-murid yang dikasihi,

Pada tahun 1991 Kerajaan membina azam untuk mencapai Wawasan 2020, untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mebikut acuan sendiri. Bagi menghadapi cabaran-cabaran yang menghalang kita daripada mencapai wawasan ini, kerajaan telahpun melancarkan Pelan Transformasi sebagai satu kerangka pelan hala tuju yang memperincikan objektif, keberhasilan dan langkah-langkah permulaan yang akan dilaksanakan. Tempoh satu dekad yang tinggal ini bukanlah satu jangka masa yang panjang. Oleh itu, kita hendaklah dengan satu tekad yang kuat untuk bersama-sama menjaya bidang keberhasilan utama pendidikan iaitu Meningkatkan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan. Objektif ini mampu kita capai jika kita semua memainkan peranan masing-masing dengan bersungguh-sungguh dan berkesan.

Justeru, guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan murid-murid. Murid-murid hendaklah sentiasa memperkukuhkan disiplin dan jati diri dan menjadikan mereka golongan murid yang berhemah dan berpekerti mulia dan sentiasa mematuhi dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar daripada guru-guru dan ibu bapa. Sesungguhnya peranan guru-guru, pelajar dan ibu bapa akan membantu melonjakkan prestasi sekolah untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi.

Sebab itulah Kementerian telah memilih tema "Guru Pembina Negara Bangsa" dijadikan sebagai tema hari Guru pada tahun ini. Kejayaan membangunkan sebuah Negara Bangsa yang teguh akan membantu kita mencapai Wawasan 2020. Nilai-nilai murni seperti sifat saling menghormati, bertanggungjawab, penyayang, bertimbang rasa, berbudi bahasa, memiliki disiplin diri dan kesungguhan wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.

Matlamat Kerajaan untuk membina sebuah Negara Bangsa adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia: rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri malaysia. Hasrat 1 Malaysia adalah gagasan untuk membina kekuatan melalui perpaduan nasional dan semangat kebersamaan. Lapan nilai-nilai aspirasi yang menjadi teras gagasan 1 Malaysia iaitu budaya ilmu, integriti, ketahanan, kesetiaan, kebijaksanaan, budaya ketepatan, budaya berprestasi tinggi dan budaya inovasi merupakan nilai-nilai teras yang perlu diterapkan sebagai budaya kehidupan rakyat bagi memacu kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Setiap rakyat menjunjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.

Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuhkan. Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Oleh itu, ianya perlu diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap orang. Kementerian pelajaran akan terus menyokong pembinaan Negara Bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Saya menaruh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran, serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.

Dalam merealisasikan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kita perlu menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan untuk membina kumpulan tenaga kerja yang berpengetahuan, inovatif, kreatif dan berdaya saing. Guru perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan pelajar dalam setiap aspek kehidupan mereka. Guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan ia memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi pada setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak didik dan masyarakat. Berkidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat memerlukan bakti para guru.

Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan kita akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.

"Selamat Menyambut Hari Guru"

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warah matullahi wabarakatuh. Selamat Menyambut Hari Guru.


Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya
10 Mei 2010

PERTANDINGAN SYARAHAN & UJIAN BERTULIS DALAM BAHASA MALAYSIA PIALA PERPADUAN PERINGKAT DAERAH PONTIAN BAGI TAHUN 2010







Pada 28 April 2010 yang lalu, telah diadakan pertandingan syarahan dan menulis dalam Bahasa Malaysia Peringkat Daerah Pontian 2010. Pertandingan tersebut telah diadakan di Dewan Serbaguna SJK(c) Yu Ming, Pekan Nanas, Pontian.

Pertandingan ini telah disertai oleh 26 sekolah jenis kebangsaan di Daerah Pontian. Setiap sekolah dikehendaki untuk menghantar wakil seramai 5 orang murid. Iaitu seorang murid mewakili pertandingan syarahan, manakala selebihnya ialah untuk pertandingan ujian bertulis.

Pertandingan ini telah dihakimi oleh 4 orang hakim yang dijemput khas iaitu, En. Zainal Bin Sulaiman dari STMIS 1, En. Mokhtar Bin Jastan dari SK. Melayu Raya, En. Ayub Bin Abd. Rahim dari SK. Pt. Patah, dan Pn. Norzehan Binti Hj. Hanafiah dari SK. Sg. Bunyi.

Antara objektif pertandingan ini diadakan ialah:
- Menggalakkan murid-murid SJK(c) dan SJK(T) menguasai serta mempertingkatkan taraf penggunaan Bahasa Malaysia.
- Menggalakkan murid-murid SJK(c) dan SJK(T) bertutur dalam Bahasa Malaysia.
- Merapatkan hubungan antara guru SJK(c) dan SJK(T) di Malaysia.
- Menanam semangat perpaduan dan muhibah.
- Menanam semangat Bahasa Malaysia.

SJK(c) Chung Hwa telah mengahantar 5 orang wakil iaitu Pui Mei Shi untuk pertandingan syarahan dengan tajuk "Negara Harmoni, Rakyat Diberkati", dan selebihnya iaitu Tan Zi Hao, Toh Wee Hong, Ker Huey Chyi, dan Ser Shao Peng untuk pertandingan ujian bertulis. Walau bagaimanapun, wakil SJK(c) Chung Hwa gagal memenangi sebarang pertandingan kerana wakil-wakil dari sekolah lain hebat-hebat dan mantap-mantap belaka. Diharapkan pada masa hadapan akan ada wakil dari SJK(c) Chung Hwa yang akan memenangi pertandingan seperti ini.

Secara kesimpulannya, pertandingan seperti ini amat baik diadakan dan banyak pula faedahnya kepada murid-murid. Semoga pertandingan seperti ini akan dapat diteruskan lagi malah diperbanyakkan lagi agar semangat Bahasa Malaysia ini akan dapat diterapkan di dalam jiwa murid-murid SJK(c) dan SJK(T), sekian.

PAMERAN BERGERAK BAS PAMERAN ANTIDADAH AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN (AADK)







Agensi AntiDadah Kebangsaan telah mengadakan aktiviti lawatan ke bas bergerak Pameran AntiDadak Kebangsaan (AADK) pada 27 April 2010 (Selasa) yang lalu, bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang di SMK Dato' Penggawa Barat, Pontian. Pameran ini telah dianjurkan oleh AADK dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Pontian (PPD).

Oleh itu, SJK(c) Chung Hwa telah menghantar wakil seramai 4 orang murid yang terdiri daripada murid Tahun 4 beserta seorang guru pengiring untuk melawat pameran itu. Di pameran tersebut murid-murid di bawa masuk ke dalam bas, di mana di dalamnya terdapat penerangan tentang bahaya dan kesan dadah kepada tubuh manusia serta contoh-contoh dadah asli untuk dipertontonkan kepada murid-murid. Difahamkan bahawa hanya terdapat 2 buah bas pameran seperti ini di Malaysia. Iaitu melibatkan bahagian selatan Semenanjung Malaysia dan bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Secara kesimpulannya pameran sebegini adalah baik namun faktor kawasan yang sempit serta kekangan masa mencacatkan sedikit pelaksanaan pameran ini. Mungkin pihak AADK dan PPD perlu melakukan sedikit pembaikan agar pelaksaannya lebih lancar dan teratur. Walaubagaimanapun syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak AADK dan PPD Pontian atas inisiatif yang dijalankan ini, sekian.

PESTA BUKU DAN PAMERAN KERJAYA DAERAH PONTIAN TAHUN 2010






Pejabat Pelajaran Daerah Pontian telah menganjurkan Pesta Buku dan Pameran Kerjaya pada:
- 20hb - 22hb April 2010 (Selasa - Khamis)
- Pukul 9.00 pagi - 9.30 malam
- Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian

Sehubungan dengan itu, setiap sekolah dikehendaki untuk mengatur satu lawatan ke pameran tersebut mengikut jadual yang telah ditetapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.

SJK (c) Chung Hwa telah membawa wakil seramai 16 orang murid yang melibatkan Tahun 3 hingga Tahun 6, beserta 8 orang guru pengiring. Kami bertolak ke pameran tersebut pada pukul 2.00 petang dan bertolak balik ke sekolah pada pukul 3.30 petang.

Di pameran tersebut terdapat pelbagai buku ilmiah yang dapat murid perolehi. Dari peringkat UPSR hinggalah Peringkat SPM. Selain itu, pelajar juga ada diberikan potongan harga bagi setiap buku yang mereka beli. Bagi mereka yang menghadapi peperiksaan SPM pula, bolehlah mendapatkan penerangan awal mengenai hala tuju mereka sesudah tamat belajar. Ini kerana, terdapat wakil universiti yang datang seperti UKM, UTM, UNISEL, dan kolej-kolej. Pelajar boleh bertanya dan mendapat nasihat awal bagaimana hendak melanjutkan pelajaran dan bidang apa yang sesuai untuk mereka pohon nanti.

Secara keseluruhan, pameran seperti ini dapat memberikan banyak manfaat kepada pelajar, ibu bapa, dan orang ramai. Diharapkan pameran sebegini akan dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang, sekian.

PERTANDINGAN BERCERITA DALAM BAHASA MALAYSIA BAGI SJK (C) & SJK (T) PERINGKAT DAERAH PONTIAN TAHUN 2010







Pada 7 April 2010 yang lalu, telah berlangsungnya Pertandingan Bercerita bagi SJK (c) dan SJK (T) Peringkat Daerah Pontian Tahun 2010. Pertandingan ini telah diadakan di Dewan SJK (c) Pei Chun 1 & 2. Pertandingan ini telah dimulakan pada pukul 2.00 petang sehinggalah pukul 6.00 petang.

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk:
- Memperluaskan kesedaran penggunaan Bahasa Malaysia di SJK (c) & SJK (T).
- Memupuk semangat muhibah dan nasionalisme di kalangan pelajar-pelajar bukan Melayu.

Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Lelaki yang diadakan di dewan besar dan Kategori Perempuan yang diadakan di dewan kecil. Seramai 50 Orang peserta telah menyertai pertandingan ini. 25 prang peserta bagi kategori lelaki dan 25 orang peserta bagi kategori perempuan.

Cerita yang perlu disampaikan oleh peserta mestilah bertemakan nilai-nilai murni dan dilarang sama sekali cerita yang menyentuh isu-isu sensitif.

SJK (c) Chung Hwa telah menghantar seorang wakil iaitu Ker Huey Chyi yang membawakan sebuah cerita yang bertajuk "Kura-Kura yang Tidak Mengikut Nasihat". Wakil SJK (c) Chung Hwa telah menunjukkan semangat dan gaya cerita yang menarik dan teratur. Walau bagaimanapun masih tiada rezeki untuk wakil SJK (c) Chung Hwa memenangi pertandingan ini. Diharapkan pada masa-masa hadapan ada wakil daripada SJK (c) Chung Hwa yang dapat memenangi pertandingan ini. Sekian.

KEJOHANAN PING PONG MSSD ZON BANDAR PONTIAN




Pada 1 April 2010 yang lalu telah berlangsungnya Kejohanan Ping Pong MSSD Zon Bandar Pontian. Kejohanan ini berlangsung di Dewan SJK (c) Bin Chong, Pontian. Kejohanan ini telah dosertai oleh 11 sekolah dari dari Zon Bandar Pontian. Sekolah yang menyertai kejohanan ini ialah SJK (c) Pei Chun 1 & 2, SJK (c) Gau San, SJK (c) Tah Tong, SJK (c) Chi Chih, SJK (c) Chien Hwa, SJK (c) Chung Hwa, SK. Pt. Kudus, SK. Bandar Pontian, SK. Pontian Besar, dan SJK (c) Bin Chong.

Kejohanan ini terbahagi kepada beberapa kategori iaitu Kategori Lelaki Terbuka Perseorangan, Perempuan Terbuka Perseorangan, Lelaki Bukan Cina Terbuka Perseorangan dan Perempuan Bukan Cina Perseorangan.

Bagi SJK (c) Chung Hwa, kami telah menghantar wakil seramai 3 orang iaitu Ser Shao Peng, Ser Shao Ching, dan Neo Yeong Heng. Walaubagaimanapun ketiga-tiga wakil gagal mendapat tempat dalam kejohanan tersebut. Namun mereka telah menunjukkan semangat yang cekal dan memberikan tentangan yang agak sengit kepada lawan mereka. Apa yang penting ialah semangat tidak mudah mengalah mereka. Mungkin pada lain kali SJK (c) Chung Hwa akan mendapat tempat dan memenangi kejohanan ini.

Hidup SJK (c) Chung Hwa!!!!

Sekian.