17 Mei 2010

PERTANDINGAN BERCERITA DALAM BAHASA MALAYSIA BAGI SJK (C) & SJK (T) PERINGKAT DAERAH PONTIAN TAHUN 2010







Pada 7 April 2010 yang lalu, telah berlangsungnya Pertandingan Bercerita bagi SJK (c) dan SJK (T) Peringkat Daerah Pontian Tahun 2010. Pertandingan ini telah diadakan di Dewan SJK (c) Pei Chun 1 & 2. Pertandingan ini telah dimulakan pada pukul 2.00 petang sehinggalah pukul 6.00 petang.

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk:
- Memperluaskan kesedaran penggunaan Bahasa Malaysia di SJK (c) & SJK (T).
- Memupuk semangat muhibah dan nasionalisme di kalangan pelajar-pelajar bukan Melayu.

Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Kategori Lelaki yang diadakan di dewan besar dan Kategori Perempuan yang diadakan di dewan kecil. Seramai 50 Orang peserta telah menyertai pertandingan ini. 25 prang peserta bagi kategori lelaki dan 25 orang peserta bagi kategori perempuan.

Cerita yang perlu disampaikan oleh peserta mestilah bertemakan nilai-nilai murni dan dilarang sama sekali cerita yang menyentuh isu-isu sensitif.

SJK (c) Chung Hwa telah menghantar seorang wakil iaitu Ker Huey Chyi yang membawakan sebuah cerita yang bertajuk "Kura-Kura yang Tidak Mengikut Nasihat". Wakil SJK (c) Chung Hwa telah menunjukkan semangat dan gaya cerita yang menarik dan teratur. Walau bagaimanapun masih tiada rezeki untuk wakil SJK (c) Chung Hwa memenangi pertandingan ini. Diharapkan pada masa-masa hadapan ada wakil daripada SJK (c) Chung Hwa yang dapat memenangi pertandingan ini. Sekian.

KEJOHANAN PING PONG MSSD ZON BANDAR PONTIAN




Pada 1 April 2010 yang lalu telah berlangsungnya Kejohanan Ping Pong MSSD Zon Bandar Pontian. Kejohanan ini berlangsung di Dewan SJK (c) Bin Chong, Pontian. Kejohanan ini telah dosertai oleh 11 sekolah dari dari Zon Bandar Pontian. Sekolah yang menyertai kejohanan ini ialah SJK (c) Pei Chun 1 & 2, SJK (c) Gau San, SJK (c) Tah Tong, SJK (c) Chi Chih, SJK (c) Chien Hwa, SJK (c) Chung Hwa, SK. Pt. Kudus, SK. Bandar Pontian, SK. Pontian Besar, dan SJK (c) Bin Chong.

Kejohanan ini terbahagi kepada beberapa kategori iaitu Kategori Lelaki Terbuka Perseorangan, Perempuan Terbuka Perseorangan, Lelaki Bukan Cina Terbuka Perseorangan dan Perempuan Bukan Cina Perseorangan.

Bagi SJK (c) Chung Hwa, kami telah menghantar wakil seramai 3 orang iaitu Ser Shao Peng, Ser Shao Ching, dan Neo Yeong Heng. Walaubagaimanapun ketiga-tiga wakil gagal mendapat tempat dalam kejohanan tersebut. Namun mereka telah menunjukkan semangat yang cekal dan memberikan tentangan yang agak sengit kepada lawan mereka. Apa yang penting ialah semangat tidak mudah mengalah mereka. Mungkin pada lain kali SJK (c) Chung Hwa akan mendapat tempat dan memenangi kejohanan ini.

Hidup SJK (c) Chung Hwa!!!!

Sekian.

14 Mac 2010

ASAL-USUL SEKOLAH SJK (c) CHUNG HWA

SJK (c) Chung Hwa telah ditubuhkan pada tahun 1935. Sekolah ini terletak di Pekan Kayu Ara Pasong. Pada tahun ini iaitu tahun 2010 SJK (c) Chung Hwa telah beroperasi selama lebih kurang 75 tahun lamanya.

Pengasas sekolah ini ialah En. Xie Cheng Chin dan penduduk tempatan. Sebelum sekolah ini dibina, penduduk tempatan terpaksa menghantar anak-anak mereka belajar ke Bandar Pontian. Oleh yang demikian, mereka menghadapi banyak masalah seperti jarak perjalanan yang jauh, memakan masa yang panjang dan tenaga yang banyak untuk sampai ke sekolah. Oleh itu, penduduk tempatan telah gigih berusaha dan akhirnya terbinalah Bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa. Guru besar yang pertama ditempatkan di sekolah ini ialah En. Huang Feng Qiang.

Semasa Jepun menyerang Malaya, sekolah ini terpaksa ditutup dan kemudian pada tahun 1946 sekolah dibuka semula. Pada tahun 1956, cawangan SJK (c) Chung Hwa di Pekan Parit Sikom dibina untuk kemudahan penduduk tempatan di situ.

Pada tahun 1980, dengan kerjasama penduduk tempatan dan daya usaha mereka serta derma daripada orang ramai, dewan sekolah, kantin, perpustakaan, dan kelas bagi cawangan SJK (c) Chung Hwa Parit Sikom telah siap dibina. Pada 9hb Julai 1980, Dewan Baru SJK (c) Chung Hwa induk telah siap dibina da dirasmikan oleh Dato' Mohd. Yunus Bin Haji Sulaiman. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Gelang Patah, merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Akhirnya pada awal April 1997, Cawangan SJK (c) Chung Hwa yang terletak di Parit Sikom terpaksa dipisahkan daripada induknya atas sebab-sebab tertentu. Sekolah berkenaan telah diambil alih oleh SJK (c) Nan Mah, Pekan Nanas, Pontian sehingga kini.

05 Mac 2010

Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Sekolah SJK (c) Chung Hwa, Tahun 2010






Sambutan Minggu Antidadah telah dijalankan oleh sekolah SJK © Chung Hwa, Kayu Ara Pasong mulai 22 Februari 2010 hingga 24 Februari 2010. Minggu Antidadah ini diadakan selaras dengan seruan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahukan sambutan ini diadakan bagi memperingati sambutan antidadah antarabangsa. Tujuan utama minggu ini diadakan ialah untuk memberi kesedaran kepada para pelajar tentang bahaya dadah dan kesan buruk ketagihan dadah kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Disamping itu, sambutan ini dapat menyemai semangat “Hidup Cemerlang Tanpa Dadah” di kalangan murid-murid. Tema sambutan Minggu Antidadah pada tahun ini ialah “1 Malaysia Membanteras Dadah”. Tema ini boleh ditakrifkan sebagai semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu menentang najis dadah tanpa mengira agama, bangsa, dan fahaman. Ini kerana, sekiranya negara kita bebas dari dadah maka keamanan dan kemakmuran negara akan terpelihara dan seterusnya maruah dan kedaulatan negara dapat dijaga.

Majlis Perasmian Minggu Antidadah SJK © Chung Hwa, Kayu Ara Pasong telah dilancarkan pada 22 Februari 2010. Acara ini dimulakan pada pukul 7.30 pagi. Ianya dimulakan dengan Nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Bangsa Johor, lagu sekolah, dan bacaan ikrar Antidadah oleh murid. Seterusnya bacaan perutusan Antidadah daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Y. BHG. Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin Bin Hj. Mohd Dom oleh En. Mohd Nooraleef Feerdaus dan Cik Ng Nana. Bacaan ini di baca dalam 2 bahasa iaitu di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Cina. Selepas itu, Guru Besar iaitu Puan Diong King Chai memberikan ucapan beliau dan seterusnya merasmikan Minggu Antidadah Peringkat Sekolah bagi tahun 2010.

Pada hari kedua pula, aktiviti pameran mengenai dadah dan pertandingan kuiz antidadah dijalankan. Aktiviti bermula pada pukul 7.30 pagi iaitu aktiviti pameran mengenai dadah. Ia dimulakan dengan murid tahap 1 dan setelah itu murid tahap 2 pula. Pameran yang diadakan di Lorong PPDa itu telah diisi dengan penjelasan dari En. Mohd Nooraleef Feerdaus dan Cik Gan Siew Lee mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah dan kesannya kepada masyarakat. Sesi penerangan ini mengambil masa 15 minit bagi setiap sesi. Murid juga dapat bersoal jawab dengan guru tentang perkara mengenai dadah yang mereka kurang faham. Setelah itu pada pukul 8.00 pagi, pertandingan kuiz antidadah pula dijalankan. Pertandingan ini hanya melibatkan murid-murid tahap 2 sahaja.

Pada hari ketiga pula, iaitu hari terakhir minggu antidadah pertandingan mewarna poster bagi tahap 1 dan tahap 2 pula dijalankan. Murid-murid dikehendaki mewarnakan poster secantik dan sekreatif yang mungkin. Murid-murid boleh menggunakan apa sahaja jenis warna dan murid juga boleh mengubah lukisan poster tersebut mengikut daya kreativiti masing-masing.

Semua aktiviti pertandingan yang dilaksanakan oleh murid telah diberi penilaian oleh guru yang dipertanggungjawabkan. Hadiah akan disampaikan kepada pemenang semasa majlis penyampaian hadiah akhir tahun nanti. Secara keseluruhan sambutan ini telah memberikan kesedaran kepada murid-murid tentang bahayanya dadah kepada murid, masyarakat, dan negara. Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Sekolah SJK © Chung Hwa telah ditutup dengan rasminya pada 24 Februari 2010.

Diharapkan sambutan seperti ini dapat dilakukan pada setiap tahun bagi memberi kesedaran tentang bahayanya dadah kepada diri manusia serta hasrat kerajaan untuk menjadikan sekolah bebas dadah pada tahun 2012 dan negara bebas dadah pada tahun 2015 akan tercapai.

KEJOHANAN OLAHRAGA MSSD(R) ZON BANDAR TAHUN 2010

Pada 24 dan 25 Februari yang lalu telah diadakan Kejohanan Olahraga MSSD(R) Zon Bandar Tahun 2010 bertempat di Padang SMK Kayu Ara Pasong. Kejohanan pada tahun ini telah dipengerusikan oleh SK Tanjong Ayer Hitam. Antara acara yang dipertandingkan ialah lompat jauh, lompat tinggi, merejam lembing, melontar peluru,lari 4x100 meter, lari 100 meter, dan lari 200 meter telah diadakan. Kejohanan ini telah disertai oleh semua sekolah yang berada di dalam Zon Bandar Pontian.

Bagi SJK(c) Chung Hwa, 3 orang murid telah dihantar bagi mengambil bahagian untuk kejohanan tesebut di dalam acara lari 100 meter, lari 200 meter, dan lompat jauh. Mereka ialah Neo Yeong Heng, Ser Shao Peng, dan Ser Shao Ting. Walaubagaimanapun ketiga-tiga wakil dari SJK(c) Chung Hwa ini gagal memenangi sebarang pingat namun apa yang penting di sini ialah semangat mereka yng sanggup mencuba sedaya upaya itu amat dikagumi. Memanglah adat permainan ada kalah ada menang. Diharapkan pada tahun hadapan akan ada wakil sekolah ini yang akan memenangi pingat di dalam kejohanan ini.

Berikut di paparkan suasana sepanjang kejohana tersebut...





28 Februari 2010

Sambutan Maulidur Rasul 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah'




Pada 26 Februari yang lepas, adalah merupakan perayaan Maulidur Rasul. Tema pada tahun ini ialah 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah'.

Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W jatuh pada hari isnin 12 Rabiul Awal Tahun Gajah.Baginda merupakan nabi terakhir yang diutuskan kepada umat manusia oleh Allah S.W.T.

Umumnya pada hari ini, pelbagai aktiviti dilakukan bagi mengingati junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Antara aktiviti yang dilakukan ialah perarakan beramai-ramai sambil mengalunkan selawat memuji-muji baginda, ceramah, dan segala aktiviti yang berunsurkan keagamaan dan kecintaan kepada baginda. Aktiviti seperti ini secara tidak langsung akan dapat menguatkan lagi ikatan persaudaraan sesama manusia selaras dengan tema Maulidur Rasul tahun ini iaitu 'Memantap Ukhwah, Memperkasa Ummah'.

Kita diminta untuk memantapkan ukhwah atau persaudaraan kerana sekiranya kita bersatu maka kita akan menjadi kuat. Bak kata pepatah 'Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'. Kita semua diminta untuk mencontohi Nabi Muhammad S.A.W kerana baginda mempunyai akhlak yang sangat terpuji di samping budi pekerti yang mulia. Sekiranya kita dapat mennjadikan baginda sebagai contoh maka nescaya segala perkara yang keji ataupun jahat InsyaAllah tidak akan berlaku kepada kita.

Akhir kata dengan kehadiran hari memperingati ulang tahun Rasulullah S.A.W pada tahun ini, kita semua akan berubah kepada sesuatu yang lebih baik, kita semua akan menghormati dan dihormati dan tidak lagi mengeji atau dikeji antara satu sama lain. Semoga dengan ini kita akan dapat hidup saling berharmoni di bumi bertuah dan tercinta ini iaitu Bumi Malaysia.

Sekian.

10 Februari 2010

Selamat Tahun Baru Cina

Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting orang Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan.

Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau sebagai simbol murah rezeki, bunga dan pokok limau.

Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei.

Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina. (Dipetik daripada Wikipedia)

Oleh itu, bagi pihak pengurusan laman sesawang mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada guru, murid-murid, dan juga kepada Penduduk Malaysia yang berbangsa cina. Semoga perayaan dapat disambut dengan gembira dan makmur di negara yang aman dan damai ini. Bagi mereka yang memulakan perjalanan jauh ke kampung,memandulah secara berhati-hati agar kepulangan dapat disambut dengan gembira bukannya dengan air mata.Sekian.