14 Mac 2010

ASAL-USUL SEKOLAH SJK (c) CHUNG HWA

SJK (c) Chung Hwa telah ditubuhkan pada tahun 1935. Sekolah ini terletak di Pekan Kayu Ara Pasong. Pada tahun ini iaitu tahun 2010 SJK (c) Chung Hwa telah beroperasi selama lebih kurang 75 tahun lamanya.

Pengasas sekolah ini ialah En. Xie Cheng Chin dan penduduk tempatan. Sebelum sekolah ini dibina, penduduk tempatan terpaksa menghantar anak-anak mereka belajar ke Bandar Pontian. Oleh yang demikian, mereka menghadapi banyak masalah seperti jarak perjalanan yang jauh, memakan masa yang panjang dan tenaga yang banyak untuk sampai ke sekolah. Oleh itu, penduduk tempatan telah gigih berusaha dan akhirnya terbinalah Bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa. Guru besar yang pertama ditempatkan di sekolah ini ialah En. Huang Feng Qiang.

Semasa Jepun menyerang Malaya, sekolah ini terpaksa ditutup dan kemudian pada tahun 1946 sekolah dibuka semula. Pada tahun 1956, cawangan SJK (c) Chung Hwa di Pekan Parit Sikom dibina untuk kemudahan penduduk tempatan di situ.

Pada tahun 1980, dengan kerjasama penduduk tempatan dan daya usaha mereka serta derma daripada orang ramai, dewan sekolah, kantin, perpustakaan, dan kelas bagi cawangan SJK (c) Chung Hwa Parit Sikom telah siap dibina. Pada 9hb Julai 1980, Dewan Baru SJK (c) Chung Hwa induk telah siap dibina da dirasmikan oleh Dato' Mohd. Yunus Bin Haji Sulaiman. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Gelang Patah, merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Akhirnya pada awal April 1997, Cawangan SJK (c) Chung Hwa yang terletak di Parit Sikom terpaksa dipisahkan daripada induknya atas sebab-sebab tertentu. Sekolah berkenaan telah diambil alih oleh SJK (c) Nan Mah, Pekan Nanas, Pontian sehingga kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan