14 Mac 2010

ASAL-USUL SEKOLAH SJK (c) CHUNG HWA

SJK (c) Chung Hwa telah ditubuhkan pada tahun 1935. Sekolah ini terletak di Pekan Kayu Ara Pasong. Pada tahun ini iaitu tahun 2010 SJK (c) Chung Hwa telah beroperasi selama lebih kurang 75 tahun lamanya.

Pengasas sekolah ini ialah En. Xie Cheng Chin dan penduduk tempatan. Sebelum sekolah ini dibina, penduduk tempatan terpaksa menghantar anak-anak mereka belajar ke Bandar Pontian. Oleh yang demikian, mereka menghadapi banyak masalah seperti jarak perjalanan yang jauh, memakan masa yang panjang dan tenaga yang banyak untuk sampai ke sekolah. Oleh itu, penduduk tempatan telah gigih berusaha dan akhirnya terbinalah Bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa. Guru besar yang pertama ditempatkan di sekolah ini ialah En. Huang Feng Qiang.

Semasa Jepun menyerang Malaya, sekolah ini terpaksa ditutup dan kemudian pada tahun 1946 sekolah dibuka semula. Pada tahun 1956, cawangan SJK (c) Chung Hwa di Pekan Parit Sikom dibina untuk kemudahan penduduk tempatan di situ.

Pada tahun 1980, dengan kerjasama penduduk tempatan dan daya usaha mereka serta derma daripada orang ramai, dewan sekolah, kantin, perpustakaan, dan kelas bagi cawangan SJK (c) Chung Hwa Parit Sikom telah siap dibina. Pada 9hb Julai 1980, Dewan Baru SJK (c) Chung Hwa induk telah siap dibina da dirasmikan oleh Dato' Mohd. Yunus Bin Haji Sulaiman. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Gelang Patah, merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Akhirnya pada awal April 1997, Cawangan SJK (c) Chung Hwa yang terletak di Parit Sikom terpaksa dipisahkan daripada induknya atas sebab-sebab tertentu. Sekolah berkenaan telah diambil alih oleh SJK (c) Nan Mah, Pekan Nanas, Pontian sehingga kini.

05 Mac 2010

Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Sekolah SJK (c) Chung Hwa, Tahun 2010






Sambutan Minggu Antidadah telah dijalankan oleh sekolah SJK © Chung Hwa, Kayu Ara Pasong mulai 22 Februari 2010 hingga 24 Februari 2010. Minggu Antidadah ini diadakan selaras dengan seruan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahukan sambutan ini diadakan bagi memperingati sambutan antidadah antarabangsa. Tujuan utama minggu ini diadakan ialah untuk memberi kesedaran kepada para pelajar tentang bahaya dadah dan kesan buruk ketagihan dadah kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Disamping itu, sambutan ini dapat menyemai semangat “Hidup Cemerlang Tanpa Dadah” di kalangan murid-murid. Tema sambutan Minggu Antidadah pada tahun ini ialah “1 Malaysia Membanteras Dadah”. Tema ini boleh ditakrifkan sebagai semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu menentang najis dadah tanpa mengira agama, bangsa, dan fahaman. Ini kerana, sekiranya negara kita bebas dari dadah maka keamanan dan kemakmuran negara akan terpelihara dan seterusnya maruah dan kedaulatan negara dapat dijaga.

Majlis Perasmian Minggu Antidadah SJK © Chung Hwa, Kayu Ara Pasong telah dilancarkan pada 22 Februari 2010. Acara ini dimulakan pada pukul 7.30 pagi. Ianya dimulakan dengan Nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Bangsa Johor, lagu sekolah, dan bacaan ikrar Antidadah oleh murid. Seterusnya bacaan perutusan Antidadah daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Y. BHG. Tan Sri Dato’ Hj. Alimuddin Bin Hj. Mohd Dom oleh En. Mohd Nooraleef Feerdaus dan Cik Ng Nana. Bacaan ini di baca dalam 2 bahasa iaitu di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Cina. Selepas itu, Guru Besar iaitu Puan Diong King Chai memberikan ucapan beliau dan seterusnya merasmikan Minggu Antidadah Peringkat Sekolah bagi tahun 2010.

Pada hari kedua pula, aktiviti pameran mengenai dadah dan pertandingan kuiz antidadah dijalankan. Aktiviti bermula pada pukul 7.30 pagi iaitu aktiviti pameran mengenai dadah. Ia dimulakan dengan murid tahap 1 dan setelah itu murid tahap 2 pula. Pameran yang diadakan di Lorong PPDa itu telah diisi dengan penjelasan dari En. Mohd Nooraleef Feerdaus dan Cik Gan Siew Lee mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah dan kesannya kepada masyarakat. Sesi penerangan ini mengambil masa 15 minit bagi setiap sesi. Murid juga dapat bersoal jawab dengan guru tentang perkara mengenai dadah yang mereka kurang faham. Setelah itu pada pukul 8.00 pagi, pertandingan kuiz antidadah pula dijalankan. Pertandingan ini hanya melibatkan murid-murid tahap 2 sahaja.

Pada hari ketiga pula, iaitu hari terakhir minggu antidadah pertandingan mewarna poster bagi tahap 1 dan tahap 2 pula dijalankan. Murid-murid dikehendaki mewarnakan poster secantik dan sekreatif yang mungkin. Murid-murid boleh menggunakan apa sahaja jenis warna dan murid juga boleh mengubah lukisan poster tersebut mengikut daya kreativiti masing-masing.

Semua aktiviti pertandingan yang dilaksanakan oleh murid telah diberi penilaian oleh guru yang dipertanggungjawabkan. Hadiah akan disampaikan kepada pemenang semasa majlis penyampaian hadiah akhir tahun nanti. Secara keseluruhan sambutan ini telah memberikan kesedaran kepada murid-murid tentang bahayanya dadah kepada murid, masyarakat, dan negara. Sambutan Minggu Antidadah Peringkat Sekolah SJK © Chung Hwa telah ditutup dengan rasminya pada 24 Februari 2010.

Diharapkan sambutan seperti ini dapat dilakukan pada setiap tahun bagi memberi kesedaran tentang bahayanya dadah kepada diri manusia serta hasrat kerajaan untuk menjadikan sekolah bebas dadah pada tahun 2012 dan negara bebas dadah pada tahun 2015 akan tercapai.

KEJOHANAN OLAHRAGA MSSD(R) ZON BANDAR TAHUN 2010

Pada 24 dan 25 Februari yang lalu telah diadakan Kejohanan Olahraga MSSD(R) Zon Bandar Tahun 2010 bertempat di Padang SMK Kayu Ara Pasong. Kejohanan pada tahun ini telah dipengerusikan oleh SK Tanjong Ayer Hitam. Antara acara yang dipertandingkan ialah lompat jauh, lompat tinggi, merejam lembing, melontar peluru,lari 4x100 meter, lari 100 meter, dan lari 200 meter telah diadakan. Kejohanan ini telah disertai oleh semua sekolah yang berada di dalam Zon Bandar Pontian.

Bagi SJK(c) Chung Hwa, 3 orang murid telah dihantar bagi mengambil bahagian untuk kejohanan tesebut di dalam acara lari 100 meter, lari 200 meter, dan lompat jauh. Mereka ialah Neo Yeong Heng, Ser Shao Peng, dan Ser Shao Ting. Walaubagaimanapun ketiga-tiga wakil dari SJK(c) Chung Hwa ini gagal memenangi sebarang pingat namun apa yang penting di sini ialah semangat mereka yng sanggup mencuba sedaya upaya itu amat dikagumi. Memanglah adat permainan ada kalah ada menang. Diharapkan pada tahun hadapan akan ada wakil sekolah ini yang akan memenangi pingat di dalam kejohanan ini.

Berikut di paparkan suasana sepanjang kejohana tersebut...