02 Februari 2011

SELAMAT TAHUN BARU CINA




Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada semua guru dan murid-murid yang menyambutnya. Pada tahun ini mengikut perkiraan kalendar cina ia merupakan Tahun Arnab. Seperti yang kita ketahui arnab merupakan haiwan yang jinak serta mempunyai fizikal yang comel.

Mengikut kepercayaan masyarakat cina, tahun arnab merupakan satu tahun untuk berdiplomasi dan pemujukan. Masyarakat cina juga percaya bahawa tahun ini merupakan tahun yang sesuai untuk perniagaan khususnya perniagaan yang berkaitan dengan perubatan tradisional. Walau bagaimanapun, perlu juga berhati-hati dan jangan melengah-lengahkan sesuatu pekerjaan.

Oleh itu, diharapkan guru-guru dan murid-murid semua mendapat kemudahan dan kesenangan dalam segala pekerjaan yang mereka hadapi.


Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2011.

Sekian..

03 Januari 2011

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)





Pada Tahun 2011 ini telah berlakunya perubahan dasar dalam sistem pendidikan negara kita. Di mana sistem pendidikan negara akan ditukar dari Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). KSSR ini akan mula diperkenalkan kepada murid Tahun 1 pada tahun ini. Perubahan ini adalah bertujuan untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) menjadi lebih menarik, intraktif, dan lebih bermakna dengan menonjolkan cara didik hibur di dalam P&P.

KSSR ini adalah berasaskan kepada enamtunjang utama iaitu:
- Komunikasi
- Kerohanian, sikap, dan nilai
- Kemanusiaan
- Perkembangan fizikal dan estetika
- Sains dan teknologi
- Keterampilan diri.

KSSR ini dibahagikan kepada 2 tahap, iaitu Tahap 1 (Tahun 1,2,3) dan Tahap 2 (Tahun 4,5,6). Melalui KSSR ini, murid-murid akan akan ditekankan kepada penguasaan 4M iaitu membaca, menulis, mengira, dan menaakul. Semua ini turut merangkumi Elemen Merentas Kurikulum (EMK) seperti Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan, dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Melalui KSSR ini Tahap 1 mengandungi beberapa modul iaitu:
* MODUL TERAS ASAS
- Bahasa Malaysia
- Bahasa Inggeris
- Bahasa Cina,
- Bahasa Tamil
- Matematik
- Pendidikan Jasmani
- Pendidikan Kesihatan
- Pendidikan Islam
- Pendidikan Moral

* MODUL TERAS TEMA
- Dunia Kesenian
- Dunia Seni Visual
- Dunia Muzik
- Dunia Sains dan Teknologi

* MODUL ELEKTIF
- Bahasa Arab
- Bahasa Cina (SK)
- Bahasa Tamil (SK)
- Bahasa Iban
- Bahasa Kadazandusun

Bagi murid Tahap 2 pula, ia disusun dalam bentuk Mata Pelajaran Teras dan Mata Pelajaran Elektif seperti yang dinyatakan di bawah:

* MATA PELAJARAN TERAS
- Tunjang Komunikasi
Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil

- Tunjang Sains dan Teknologi
Matematik, Sains, Reka Bentuk dan Teknologi/ICT

- Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika
Pendidikan Jasmani, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual

- Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai
Pendidikan Islam/Pendidikan Moral

- Tunjang Kemanusiaan
Sejarah

* MATA PELAJARAN ELEKTIF

- Bahasa Arab, Bahasa Cina (SK), Bahasa Tamil (SK), Bahasa Iban, Bahasa Semai, Bahasa Kadazandusun.

Adalah diharapkan dengan adanya KSSR ini, proses P&P akan menjadi bertambah menarik dan brmakna dan seterusnya akan dapat melahirkan murid-murid yang berpotensi dalam pembangunan modal insan dan seterusnya dapat merealisasikan dasar-dasar negara seperti Wawasan 2020, Cabaran Abad ke-21, dan Model Ekonomi Baru.


Sekian....

01 Januari 2011

Selamat Menyambut Tahun Baru 2011 dan Selamat Kembali Ke Sekolah.

Berlabuhnya tirai 2010 menandakan bahawa telah datangnya Tahun 2011. Pelbagai suka duka dan pahit getir telah kita alami sepanjang Tahun 2010 yang baru sahaja melabuhkan tirainya. Memang tidak dapat dinafikan ada peristiwa manis dan juga tidak kurang juga peristiwa pahit yang telah kita alami sepanjang Tahun 2010.

Bagi para guru segala penat lelah yang telah dicurahkan selama setahun ini mungkin telah terbalas dengan adanya keputusan cemerlang dari anak-anak murid kita yang cemerlang dalam peperiksaan, sama ada peperiksaan berasaskan sekolah ataupun peperiksaan UPSR. Sekiranya ada matlamat atau objektif guru yang tidak dapat dicapai pada Tahun 2010 maka berusahalah untuk mencapainya di dalam Tahun 2011 ini. Biarlah kita belajar daripada kesilapan dan bukannya hanya membiarkan diri kita hanyut di dalam kesilapan yang tidak berkesudahan.

Bagi murid-murid pula, segala penat lelah menimba ilmu selama setahun, akan dapat dilihat hasilnya. Sekiranya murid-murid belajar dengan tekun tidakmustahil ubtuk murid-murid berjaya dengan cemerlang. Bagi murid-murid yang mendapat keputusan yang kurang cemerlang, jangan berputus asa. Cuba lagi untuk tahun depan dengan menggandakan lagi usaha murid-murid. Istilah putus asa sepatutnya tidak ada dalam diri murid-murid. Ini kerana proses pembelajaran ini bukan hanya dapat diperolehi di zaman persekolahan sahaja. Malahan proses pembelajaran adalah berlaku di sepanjang hayat murid-murid. Berdasarkan ini, peluang untukmurid-murid mencapai kejayaan masih lagi terbuka luas.

Bagi pihak guru-guru SJK(c) Chung Hwa, kami di sini ingin mengucapkan berbanyak-banyak tahniah kepada murid Tahun 6A yang mana telah mencapai kejayaan 100% dalam peperiksaan UPSR terutamanya kepada PUI Mei Shi yang mendapat 7a. Guru-guru di sini akan sentiasa mendoakan kejayaan kalian. Kepada Toh Wee Hong, Ser Shao Peng, Lee Sook Tin, Tan Zi Hui, dan Pui Mei Shi diharapkan kejayaan yang telah dicapai ini akan dapat diteruskan di sekolah menengah kelak dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran di menara gading.

Bagi murid-murid SJK(c) Chung Hwa yang lain, kami guru-guru mengharapkan kamu semua dapat mencontohi semangat dan sikap abang-abang dan kakak-kakak kamu dan seterusnya mencapai kejayaan seperti mereka malahan lebih baik lagi.

Akhir kata, Guru-guru di SJK(c) Chung Hwa mengucapkan selamat menyambut tahun baru dan juga selamat kembali dan selamat datang kesekolah terutamanya kepada murid tahun 1 pada Tahun 2011 ini.

Sekian.